Kerlipan Mesej


counter

Sabtu, 7 Mac 2015

PRECIOUS HOPE

Pena ini menari-nari,
Rungkaikan ilham membara,
Elemennya berbeza,
Ceritanya pelbagai,
Ibarat mengasah parang lagi tajam matanya,
Otak ligat mencari ilham tersembunyi,
Untuk diketengahkan buat
Santapan minda.

Harapan hati ini agar setiap
Orang yang membaca,merasai
Pantulan bakat ini.
Eratkan diri dalam penulisan sampai bila-bila.

Hasil Nukilan,
Precious Hope
Kota Kinabalu.
10/02/2015

Selasa, 10 Jun 2014

152)Tajuk:Penat

Beginikah 
sebenarnya erti hidup itu?
Adakala dilambung 
ombak keresahan 
hingga terdampar di pantai lelah
adakala terpaksa meredah
terik bahang kemarahan
silih berganti sejuk dipercik buih-buih teguran.
Ah,
Aku penat memikirkan
karenah-karenah manusia
terima saja hakikat hidup.

Iham minda,
Precious Hope

Kota Kinabalu
10.06.2014

Ahad, 2 Februari 2014

151)Tajuk: Aku sebatang pensel

Aku sebatang pensel
gunanya untuk menulis
setiap perkataan
yang keluar dari
isi hati manusia.

Baik buruk isi hati manusia
aku juga digunakan untuk
mencoret yang
 tersirat dan tersurat.

Di atas kepalaku
ada pemadam putih
gunanya untuk memadam
setiap perkataan yang salah
apa yang ditulis oleh manusia.

Alangkah baiknya
kalau mereka menggunakan
aku untuk memadam
 coretan yang menyakiti hati?

Bila mataku tumpul
aku terpaksa berdepan
dan bertarung nyawa
dengan alat penajam pensel
sehingga kulitku ditoreh
lalu dibuang menjadi sisa debu
kasihan dengan tubuhku
tapi mataku kembali tajam
untuk mencoret berulangkali.

Alangkah baiknya kalau mataku
sentiasa tajam dan tak perlu
melalui cabaran yang menyakitkan
ke atas tubuhku?

Aku digunakan setiap masa
apabila manusia mahu
mencoret isi hatinya
berulangkali aku digunakan
berulangkali aku melalui
cabaran menyakitkan
akhirnya aku semakin pendek
dan manusia tidak mahu
menggunakan aku lagi
lalu aku dicampakkan
ke dalam tong berbaur
segala sampah.

Hidupku singkat
khidmatku juga singkat
kerana itulah lumrah
hidup sebatang pensel.

Alangkah baiknya
kalau aku sentiasa panjang
dan sentiasa berkhidmat
walaupun terpaksa melalui
cabaran menyakitkan?

Yang nyata,
aku hanyalah sebatang pensel.

Ilham Minda,
Precious Hope
02/02/2014


150)Tajuk:Kaucuri kebebasanku

Aku meratapi hariku
yang kian malap
kaudera aku dengan
hamburan bicara fitnah
kautampar hatiku dengan
hinaan yang tajam bagai belati
kaututup salahmu
dengan api kemarahan
semua itu kaulempar padaku.

Aku terkunci
dengan suara hati tak terluah
 kauhumban fitnahmu
ke atasku yang berusaha
mencari cahaya kebahagiaan
kauremukkan hariku dengan heretan
kemarahan dan belas dendam
demi kebebasan yang kaucuri dariku.

Apa dosaku?
Sampai aku menjadi
mangsa keganasanmu?
Kebebasanku sebagai wanita
telah kaucuri demi dirimu
yang enggan mengaku salah
walaupun nyata itu adalah dosa.

Mana kasih sayangmu
yang kaulafazkan
waktu kaumengambil
aku dari laman keluargaku?
Ternyata kaulupa daratan
kaugunakan kuasamu
sebagai kepala keluarga
di atas landasan yang salah.

Inilah hakikatnya,
Aku bangkit dari amarahmu
untuk aku perjuangkan
sisa waktuku yang ada.

Ilham Minda,
Precious Hope
02/02/2014


149) Masih Ada Semangat


Di sini aku duduk menyepi sendirian
menghela nafas kerisauan
memandang langit hidupku.

Adakala langit hidupku
 kelihatan cerah putih
sehingga menyerlah Nur kasih setia
namun di sebalik kecerahan
ada mendung beserta titis duka
tidak terperi sakitnya
menikam ulu hati.

Dalam kotak minda
kusedar siapa diri ini
aku hanyalah insan hina dan daif
dalam pandangan mata kasar
bagi mereka yang maju ke hadapan.

Namun bukan aku meminta simpati
bukan untuk menyusahkan orang
aku hanya menyusun jari mohon keampunan
agar di setiap ruang waktu
aku sedaya tenaga ingin bergelang nyawa
mencari redha dalam kehidupan
kerana setiap misiku masih ada
semangat berkobar-kobar
yang tak pernah goyah walau badai
kekalutan cuba menghancurkan semangatku.

Akan kubuktikan setiap langkah kananku
tiap waktu yang berlalu membuahkan hasil
demi mengukir nama pada
lembaran digarhayu kejayaan.

Ilham Minda,
Precious Hope
14/10/2013
Di siarkan di blog pada

02/02/2014

Ahad, 10 November 2013

148)Tajuk:Setia Si Pungguk

 Pungguk
mengapa engkau
 merindukan purnama?
Sedangkan purnama
jauh nun di cakrawala?
Kauhanya dapat melihat 
indah cahaya purnama
tapi tak boleh
terbang menghampirinya
sayangnya rindumu
tak berbaloi buat purnama.

Purnama
adakah kaujuga
 merindui si pungguk?
Sedangkan pungguk
jauh di permukaan bumi?
Kauhanya dapat melihat
si pungguk bertenggek
di atas dahan jati
tapi tak boleh
datang menyapanya
lebih dekat
dan tak berbaloi
untuk si pungguk.

Sayangnya
si pungguk hanya mampu
merindu purnama
dan purnama hanya mampu
menyinari si pungguk.

Demikianlah sinonimnya
mereka yang berkasih
saling merindu bila berjauhan
saling berkasih bila berdekatan
tapi berbaloikah itu
andai kepercayaan
diragut masa?
Ternyata semua itu
terpulang kepada
harga sebuah kesetiaan.

Ilham Minda,
Precious Hope
10/11/2013





147)Tajuk:Irama Kehidupan

Cuba terapkan irama ini
dalam dirimu bermula dengan
Do, re, me
tiga bunyi yang pertama
Do bunyinya dosa cuba membunuhmu
agar engkau nanar di dalamnya.
Re bunyinya rehatkan dirimu
dari melakukan dosa
agar engkau tidak dihanyutkan
oleh arusnya yang pantas bertindak.
Me bunyinya memilih untuk
 tidak bersekongkol dengan dosa
kerana dosa boleh mengubah
seseorang menjadi hina.

Bunyi irama belum merdu
kerana ada lagi
tiga bunyi yang kedua
fa, so, la
fa bunyinya fasihkan dirimu
untuk berlatih meninggalkan dosa
setiap waktu.
So bunyinya solat dan berzikir
 itu latihan  yang mudah
untuk menghindari dosa
dari menyelimutimu.
La bunyinya lawanlah nafsumu
agar dosa itu mati dan tidak
merebak menjadi penyakit berjangkit.

Sungguh mudah mengawal nadanya
tetapi ada nada tinggi
perlu dilengkapkan menjadi
sebuah irama kehidupan
ti,do
dua bunyi yang terakhir
Ti bunyinya tidak,tidak,tidak
melakukan dosa lagi dan
katakan dalam dirimu
‘Aku sudah insaf’.
Do bunyinya doa dalam solatmu
harus cukup kuat agar
dirimu boleh melawan nafsu
dan dosa bukan lagi membunuhmu.

Do,re,me,fa,so,la,ti,do
maka lengkaplah irama itu
dan engkau juga akan
menjadi lengkap dengan amal
solatmu tiap waktu.
Amin.

Ilham Minda,
Precious Hope
10/11/2013










146)Tajuk:Penaku Menari

Penaku ini
ligat menari
di celah jejari
mencoret ilham hati
hingga siang hari.

Penaku ini
tak pernah berhenti
terus menari
di tangan kiri
mencurah ilham yang diberi.

Penaku ini
biarkan menari
selagi ilham dicari
tak akan berhenti
pena ini menari.

Ilham Minda,
Precious Hope
10/11/2013









145)Tajuk:Pulangkan Mimpiku

Di galaksi mimpiku
ada bayang wajahmu
sepintas lalu kaumelontar
sakti senyumanmu
yang mengandung
meteor-meteor penipuan.

Setiap galaksi mimpiku
kaupamerkan drama cinta
bagai filem telenovela
aku bosan menontonnya
kerana kaujadikan aku
pelakon cinta sampingan.

Pulangkan mimpiku
aku tidak ingin bermimpi lagi
kerana aku bukanlah
heroin di hatimu.

Sungguh aku kecewa
dengan sikap egomu
kaujadikan galaksi mimpiku
ngeri seumpama filem ‘Resident Evil’
 penuh dengan kisah kejahatan
dari teknologi moden
dan nyata fikiranmu
sama seperti itu
penuh sandiwara penipuan
melenyapkan mimpiku semalam.

Ilham Minda,
Precious Hope

10/11/2013